Rencana Royale Dijangka Siap 2020
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Projek pembangunan komersial, Rencana Royale di kawasan seluas 0.81 hektar dijangka siap menjelang 2020.
Pengarah Urusan CK East Development Sdn. Bhd. (CK East), Ng Chong Kiat berkata, projek tersebut melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM380 juta dan setakat ini ia mencatat kadar ambilan antara 75 hingga 80 peratus.
“Sejak kita membuka tempahan bagi projek ini untuk orang ramai, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan ini memberi keyakinan kepada kami untuk melihat ia semakin meningkat sehingga hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Projek Rencana Royale mempunyai 622 unit dan terdiri daripada dua blok iaitu Blok A dan B. Buat masa ini, tempahan hanya dibuka untuk Blok A sahaja.
Ia dijalankan secara usaha sa- ma dengan syarikat Minda Muhibah Sdn. Bhd. (Minda Muhibah) di kawasan rizab Melayu dan dibuka kepada orang Melayu sahaja.
Unit-unit berkenaan mula dijual dengan harga bermula RM282,000 bagi keluasan 472 kaki persegi bagi unit studio suite.
Sebanyak 60 peratus daripada projek itu adalah studio suite manakala selebihnya adalah corporate suite iaitu unit banglo empat tingkat dan juga unit teres dua tingkat.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah gimnasium, kolam renang, spa, kawasan rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan bilik persidangan manakala di bahagian bawah ialah pusat beli-belah.
Baru-baru ini, CK East menerima Anugerah Kualiti Eropah yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.
Sementara itu, menurut Pengarah Minda Muhibah, Mohamed Shariff Abdul Hamid, projek pembangunan setinggi 13 tingkat itu menyasarkan golongan berusia antara 25 hingga 40 tahun bagi unit studio dan juga mereka yang mahu membuat pelaburan.
http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/rencana-royale-dijangka-siap-2020-1.513574